24 June 2013

Buang air besar berdarah atau kesakitan teramat

PENYAKIT buasir memang begitu kerap berlaku di kalangan masyarakat moden yang stres. Umum sudah amat mengetahui tanda utama buasir iaitu pendarahan di dalam najis dari rektum.


Malangnya amat jarang diperbincangkan untuk tatapan umum masalah pendarahan di dalam najis itu sendiri secara keseluruhannya.

‘‘Sebenarnya permasalahan ini adalah lebih penting dari persoalan tentang buasir itu sendiri kerana terdapat bermacam-macam penyebab atau penyakit lain selain buasir yang juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam najis.

‘‘Contohnya penyakit kanser usus yang lebih bahaya daripada buasir,’’ kata Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, Columbia Asia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurutnya, rektum adalah sebahagian daripada usus besar yang terletak di atas lubang dubur (anus). Ia digunakan oleh usus untuk menyimpan najis sebelum sampai masa yang sesuai untuk dibuang.

Pendarahan di dalam najis berlaku apabila sel-sel darah merah normal yang terletak di dalam saluran dan pembuluh darah, telah keluar dari dinding-dinding usus dan mengalir serta bertakung di dalam rongga-rongga usus.

‘‘Darah yang berwarna merah cerah menandakan pendarahan itu berlaku dari bahagian pembuluh darah arteri dan terletak di bahagian yang sangat hampir dengan lubang dubur seperti usus sigmoid ataupun rektum.

‘‘Manakala, darah yang berwarna merah gelap diandaikan berpunca dari sumber pendarahan yang lebih dalam iaitu bahagian awal usus besar seperti sekum ataupun bahagian akhir usus kecil iaitu ileum,’’ ujar beliau.

Walaupun tidak dianggap begitu oleh kebanyakan pesakit, kata Dr. Abd. Hamid, najis yang berwarna hitam pekat seperti tar di jalanan adalah juga sejenis pendarahan usus.

Darah boleh bertukar dari kebiasaan berwarna merah kepada hitam akibat proses tindak balas kimia oleh enzim-enzim penghadaman dan pencernaan yang berlaku kepada sel-sel darah yang keluar dari dinding- dinding perut ataupun usus kecil.

Punca pendarahan rektum
Pendarahan di dalam najis adalah sesuatu perkara yang amat dramatik bagi mereka yang belum pernah mengalaminya. Lebih dramatik jika pendarahan itu berlaku dengan banyak sekali.

Pesakit di kalangan ini sepatutnya terus berjumpa doktor ataupun pakar gastroenterologi dengan serta-merta.
Tindakan pantas ini memberi peluang awal kepada doktor untuk mengesan punca atau penyakit yang menyebabkan pendarahan itu sekali gus memberikan harapan yang lebih cerah kepada pesakit untuk pulih.

‘‘Malangnya, ada juga mereka yang telah mengalami pendarahan di dalam najis di dalam kuantiti yang sedikit dan jangka waktu yang bertahun-tahun, masih belum mendapat rundingan daripada doktor.

‘‘Jika pendarahan ini disebabkan oleh penyakit yang bahaya seperti kanser usus, maka kelewatan ini boleh membunuh,’’ kata Dr. Abd. Hamid sambil menambah, pendarahan di dalam najis adalah disebabkan oleh penyakit di dalam dinding usus itu sendiri.

Terdapat juga penyakit dalaman yang telah mengubah kecairan darah dengan menyebabkan sel-sel darah menyerap keluar dari dinding-dinding usus ke dalam rongganya seperti kanser sel darah, leukemia.

Gangguan kepada sistem yang mengawal kecairan darah juga boleh berpunca daripada pengambilan ubat seperti Warfarin oleh pesakit jantung.

Kebiasaannya, jika pesakit mendapati pendarahan di dalam najis itu berwarna merah cerah; dan ia keluar dahulu ataupun selepas najis, lazimnya perdarahan ini adalah disebabkan oleh buasir.

Sementara itu, pendarahan yang berwarna merah gelap dalam kuantiti yang sedikit dan bercampur-baur dengan najis menimbulkan syak tentang penyakit kanser usus.
Seterusnya, pendarahan hitam pekat selalunya disebabkan oleh penyakit radang di saluran esofagus, perut ataupun usus kecil (duodenum). Ia juga boleh disebabkan oleh ulser ataupun kanser di dalam organ-organ tersebut.


Tepat
Dr. Abd. Hamid berkata, terdapat juga punca-punca lain yang jarang ditemui pada pesakit tetapi amat penting untuk dikesan bagi memastikan rawatan yang tepat.

Contohnya, kanser rahim. Jika penyakit ini tidak dirawat dan dibiarkan membesar dan merebak, maka sel-sel kanser ini akan menghakis dinding-dinding organ yang berdekatan seperti usus besar/rektum dan menyebabkan pendarahan di dalam najis.
Keadaan ini dinamakan fistula – juga boleh berlaku di antara pembuluh darah tunjang yang bengkak dengan usus kecil.

‘‘Bagi pesakit-pesakit kanser rahim yang telah mengalami rawatan radioterapi, kesan jangka panjang pancaran radiasi itu juga boleh menyebabkan radang usus yang serius sehingga berlaku pendarahan.

‘‘Bagi pesakit-pesakit yang amat tua (70 ke atas) terutama sekali di kalangan wanita, pendarahan di dalam najis boleh disebabkan oleh penyakit seperti Angiodisplasia dan Divertikulosis,’’ jelas beliau.

Angiodisplasia adalah sejenis penyakit saluran darah kecil di dalam dinding-dinding usus akibat proses penuaan manakala Divertikulosis (perubahan di dinding usus yang menjadi semakin nipis akibat dari proses penuaan dan juga sembelit yang berpanjangan).

Apakah yang akan berlaku kepada pesakit yang mengalami pendarahan rektum?
‘‘Jika kuantiti pendarahan di dalam usus itu amat sedikit, ia tidak akan meninggalkan apa- apa kesan kepada pesakit selain daripada kejutan psikologi bagi mereka yang pertama kali menghadapinya.

‘‘Namun, jika kuantitinya banyak iaitu dalam lingkungan 500cc ke atas, akan berlaku perubahan yang ketara kepada sistem kardiovaskular pesakit,’’ kata Dr. Abd. Hamid.
Pesakit akan berasa amat lemah dan tidak bermaya. Mereka juga akan berasa seolah-olah akan pitam dan jika pendarahan ini terus berlaku dengan banyaknya, maka pesakit boleh jatuh pengsan.

Tanda-tanda pendarahan yang lain termasuklah, muka pesakit akan menjadi pucat dan berpeluh dan jika diperiksa nadinya, kadarnya lebih tinggi dari kebiasaan iaitu 70 denyutan seminit.

Saran Dr. Abd. Hamid: ‘‘Jika berlaku pendarahan di dalam najis dengan tanda-tanda di atas, maka pesakit harus dibawa ke bilik kecemasan di mana-mana klinik atau hospital yang menyediakan servis 24 jam.

‘‘Keadaan ini amat kritikal dan pesakit boleh maut akibat pendarahan di dalam najis yang tidak berhenti apabila tekanan darah mula menurun. Pesakit memerlukan rawatan kecemasan yang intensif.’’

Pesakit yang mengalami pendarahan di dalam najis tidak perlu menunggu tahap sebegini sebelum mendapat rundingan daripada doktor dan pakar.

Adalah munasabah untuk berjumpa dengan doktor segera jika berlaku pendarahan di dalam najis yang belum ditentukan puncanya oleh doktor sebelumnya.

‘‘Pendarahan merah cerah atau merah gelap yang disebabkan oleh buasir atau kanser usus kebiasaannya tidak akan menyebabkan pesakit mengalami kesakitan sama ada di bahagian perut ataupun dubur.

‘‘Jika ada kesakitan di bahagian-bahagian ini, puncanya adalah disebabkan oleh radang usus (kolitis) ataupun luka di dubur. Jika pendarahan di dalam najis berlaku bersama dengan lendir yang berlebihan, maka doktor akan mengesyaki kanser usus sebagai puncanya.’’

Satu pemeriksaan fizikal yang amat penting yang mesti dilakukan oleh doktor ke atas pesakit yang mengalami pendarahan di dalam najis adalah pemeriksaan dubur.
Ia memerlukan doktor memasukkan satu daripada jari tangannya yang telah dipakai sarung dan berjel ke dalam lubang dubur dan sampai kepada bahagian bawah rektum.
‘‘Kebiasaannya, ia tidak memberi apa-apa rasa sakit selain kurang selesa. Walaupun pemeriksaan ini kadangkala boleh menimbulkan kejelikan di kalangan ramai pesakit, ia amat kritikal dilakukan sebelum seseorang pesakit didiagnosis.
‘‘Betapa banyak kes-kes pesakit yang begitu lama dilabel sebagai mengalami penyakit buasir tetapi setelah pendarahan terus berlaku, ia hanya memerlukan seorang doktor melakukan satu pemeriksaan dubur untuk mendiagnosis kanser rektum,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Lain-lain ujian pengesanan
Jika punca pendarahan tidak dapat dikesan oleh pemeriksaan yang disebut di atas, maka beberapa ujian harus dilakukan untuk mencari penyebab kepada pendarahan dari rektum.

Beberapa ujian darah seperti taraf Haemoglobin (Hb) dan fungsi hati (LFT) sering dilakukan secara rutin. Taraf Hb akan memberi gambaran betapa seriusnya pendarahan itu dan LFT boleh membantu mencari penyakit hati sebagai punca pendarahan dan juga menguji kecairan darah itu sendiri.

Pemeriksaan endoskopi juga harus dilakukan untuk terus mencari punca pendarahan di dalam najis.

Endoskopi yang fleksibel yang berpotensi untuk melihat keseluruhan usus besar iaitu kolonoskopi adalah pemeriksaan endoskopi yang sering dilakukan oleh pakar untuk mencari punca pendarahan di dalam najis.

Jika pendarahan hitam dan puncanya dijangka dari perut atau usus kecil, maka endoskopi atas akan dilakukan melalui mulut.

Punca dan Rawatan Buasir

Mengikut pendapat umum, buasir adalah topik yang jarang dibincang secara terbuka. Ini adalah kerana perasaan malu iaitu buasir terjadi di bahagian sulit. Kehadiran tisu buasir adalah sebagai komponen normal di dalam anatomi manusia.

Buasir biasanya terdiri daripada kusyen vaskular (yang kaya dengan saluran darah) di dubur yang bertindak sebagai lapik termampat untuk membenarkan dubur tutup sama sekali. Buasir akan menaikkan simptom atau membawa masalah apabila ia membesar, lazimnya hasil daripada tekanan atau stres yang berlebihan.

Bagi kebanyakan dewasa, di satu tahap atau lain terpaksa menghadapi dengan pendarahan, kegatalan, lelehan lendir dan kadangkala kesakitan yang memaklumkan akan situasi buasir. Malangnya, buasir cenderung untuk menjadi lebih teruk hari demi hari.

Situasi ini harus dirawat secepat mungkin selepas mendapat tahu mengenainya kerana terdapatnya perubatan dan rawatan yang berkesan. Selalunya, buasir memerlukan hanya penjagaan sendiri dan perubahan dalam cara hidup di peringkat awal tanpa memerlukan rawatan yang kompleks. Paras pesakit yang mengalami buasir yang lama dan kronik akan memerlukan rawatan pembedahan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup untuk pendarahan, kesakitan dan buasir prolaps (tergelincir keluar).


Bagaimana Buasir Terjadi
Buasir merujuk kepada urat darah di dalam dinding dubur. Kedudukannya berada di bawah selaput lendir iaitu lapisan dubur yang paling dalam. Tekanan berlebihan di bahagian rektum menyebabkan dinding vena darah teregang dan membonjol, kadangkala boleh pecah, menyebabkan buasir.

Di dalam saluran dubur manusia terdapat kusyen vaskular di antara anus dengan rektum bawah, menjadikan otot-otot dubur menjadi elastik atau kenyal.

Apabila seseorang mengalami sembelit dan cuba meneran najis yang mengeras di dalam kolon dengan kuat ketika membuang air besar, struktur ini akan membengkak.

Lama-kelamaan ia menjadi kurang memberi dan akhirnya terjulur keluar daripada dubur bersama darah yang berwarna merah cerah yang menitis, tersembur atau meninggalkan kesannya apabila dikesat tisu tandas.

Walaupun pendarahan dan sembelit dilihat sebagai gejala utama buasir, cirit-birit juga boleh menjadi puncanya. Pendarahan yang berlaku daripada dubur tidak semestinya buasir tetapi boleh jadi petunjuk kepada lain-lain penyakit yang lebih serius seperti kanser kolorektal.

Jumpa Doktor Segera
Mereka yang mempunyai sebarang gejala atau pendarahan dubur lebih baik terus berjumpa doktor. Ada juga pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala awal.
Kebanyakan pesakit hanya berjumpa doktor setelah buasir memasuki peringkat teruk. Pada ketika itu, pilihan rawatan yang ada hanyalah pembedahan yang sepatutnya boleh dielakkan jika mereka merujuk pendarahan awal kepada doktor.

Punca-punca Buasir

* Sembelit dan meneran berlebihan ketika membuang buasir.
* Pekerjaan yang melibatkan keadaan duduk atau berdiri dalam masa yang lama.
* Obesiti, kehamilan dan melahirkan anak.
Walaupun kadangkala buasir dikatakan lebih cenderung untuk diwarisi, ini adalah lebih kepada faktor gaya hidup atau tabiat pemakanan di kalangan ahli keluarga yang menyebabkan kecenderungan untuk mendapat buasir.
Penyakit ini boleh dicegah dan simptomnya dapat dikawal jika diurus pada peringkat awal. Walaupun dengan rawatan, pesakit harus mengubah cara hidup mereka untuk mengelakkan berulangnya masalah.

Rawatan

Rawatan buasir melibatkan langkah-langkah yang boleh dilakukan sendiri berdasarkan nasihat daripada doktor anda. Rawatan yang paling baik adalah pencegahan. Diet makanan yang tinggi dengan serat dan sebahagian besar dapat mengelakkan sembelit dan meneran berlebihan. Kadangkala ubat-ubatan atau prosedur pembedahan juga diperlukan untuk tujuan rawatan.

Krim/Salap
Jika buasir anda hanya wujud dengan ketidakselesaan yang sedikit, doktor anda boleh mencadangkan krim dari kaunter farmasi atau salap yang selalunya mengandungi anestetik sederhana atau agen melegakan kesakitan atau steroid. Bentuk rawatan perubatan ini, dengan gabungan nasihat untuk perubahan diet dan pembukaan usus yang betul, dilengkapkan dengan mandian air panas setiap hari yang dapat melegakan simptom tersebut.

Walau bagaimanapun, salap telah dikenal pasti menyebabkan tahap sensitif kulit yang tinggi dengan penggunaan jangka panjang. Pesakit dinasihatkan untuk mengelak penggunaan bagi tempoh yang lama.

Daflon
Daflon adalah sejenis ubat yang diestrak daripada sejenis kulit oren khas yang selalunya digunakan dalam merawat buasir. Ubat ini bertindak melindungi dan memperkuat saluran pembuluh darah di dalam tisu buasir dan mengurangkan pengembangan saluran tersebut. Ini adalah lebih sesuai bagi pesakit buasir dengan tahap pertama atau kedua dan tidak sesuai untuk merawat buasir yang di tahap seterusnya serta buasir luaran.

Ligasi Pita Getah
Satu atau dua pita getah yang kecil akan diikat di sekitar dasar buasir dalaman untuk menghentikan pengedarnya. Dalam masa beberapa hari, buasir itu akan tanggal sendiri tanpa rasa sakit.

Hemorhoidektomi
Jika prosedur lain tidak berjaya atau jika anda mempunyai buasir yang besar, doktor pakar anda akan membuang tisu berkenaan dalam satu prosedur yang dikenali sebagai hemorhoidektomi. Pembedahan ini dilakukan sama ada dengan menggunakan bius setempat digabungkan dengan sedatif (ubat penenang), anestetik spina atau bius umum.

Pembedahan eksisi
Ia dikaitkan dengan tahap kesihatan yang lebih tinggi kerana bahagian bawah kulit dan saluran anus yang kaya dengan saraf fiber akan dieksisi ketika pembedahan.

Ligasi Arteri Buasir (HAL Doppler)
Lazimnya sesuai untuk buasir berdarah termasuk buasir tahap ketiga. Sejenis alat ultrabunyi yang menggunakan gelombang bunyi untuk mengenal pasti arteri buasir yang akan diligasi. Ini mengurangkan pengaliran darah kepada buasir dan mengecutkan sebahagian besar longgokan dan perhentian pendarahan.

Ia adalah prosedur sehari yang tidak sakit dan dilakukan di bawah anestetik umum atau spina, memberi hasil yang baik dan harapan yang cerah.

2 comments:

siti ZAHARA said...

takutnyaa..klu jadi mcm ni..

Eija Suriani said...

dan kita yg penah bersalin ne lg mudah dpt tau..huhu itu la org tua2 pentingkan pantang larang dulu2 utk kesan2 dlman gni la.. cth xbole angkat berat2..mkn/minum berdiri .. mkn benda2 sejuk ke tajam dll

Post a Comment