08 May 2013

Betul atau Tidak?

Setiap orang memiliki cara tersendiri untuk mendidik anak-anak, betul atau tidak itu terpulang kepada persepsi masing-masing.

Masyarakat dulu tidak menekankan pendidikan anak-anak pada peringkat awal, malah memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak mereka. Jadi peringkat awal hidup kanak-kanak dihabiskan untuk bermain dan meneroka alam sekitar. Begitu banyak ilmu tidak formal yang mampu dikutip oleh anak-anak hasil daripada bermain-main dengan kawan-kawan dan alam sekeliling mereka.

Sememangnya anak-anak bebas melakukan sesuka hati mereka hinggalah mereka menjejakkan kaki ke sekolah. Tiada istilah cerdik atau pandai diberikan, malah tiada sesiapa mempersoalkan cara pendidikan sebegini. Malah sepanjang tempoh berada di sekolah rendah, mereka masih berinteraksi dengan alam sekitar, mandi sungai, memanjat pokok, masuk hutan serta pelbagai pelajaran tidak formal.

Anak-anak yang tidak pernah dikenalkan dengan huruf a, b, c... ataupun 1, 2, 3... ataupun alif, ba, ta... sedari kecil ini dapat belajar dengan mudah, sebulan dua saja sudah dapat membaca walaupun agak susah pada minggu-minggu pertama di sekolah. Mereka belajar daripada 'zero'. Itulah kelebihan yang Allah berikan kepada anak-anak. Dari manakah anak-anak ini mendapat segala input, tanpa ada flash card, buku-buku dan pelbagai lagi teknik yang mampu kita perolehi hari ini?.

Apakah ini yang dikatakan bahawa segala ilmu tersebut sudah tersurat dalam DNA kita, sebagaimana Allah menjelaskan bahawa DIA mengajar Nabi Adam a.s semua perkara? Dengan itu anak-anak dapat memahaminya dengan mudah tanpa perlu apa-apa alat bantu.

Kemudian anak-anak itu membesar dengan semangat ingin belajar yang tinggi, dan memotivasi diri sendiri. Seterusnya mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidup mereka. Itulah perjalanan hidup kebanyakan professor-professor terkemuka serta orang-orang yang berjaya didunia ini. Jarang ditemui mereka yang didedahkan dengan ilmu sedari kecil. Apakah tanggapan kita terhadap senario ini?

Senario begini masih lagi terdapat di kawasan pedalaman. Masih terdapat ramai kanak-kanak didunia ini tidak didedahkan dengan tradisi membaca semenjak kecil dan alhamdulillah mereka mampu berjaya dengan cemerlang bila diajar.

Akan tetapi dibandar-bandar, ramai ibubapa memilih untuk memberi asas-asas membaca semenjak bayi lagi, apatah lagi ibubapa terpelajar. Mereka terlalu bimbang anak-anak tidak dapat membaca, serta pelbagai lagi kebimbangan. Jadi anak-anak didedahkan kepada 'flash card', trend Mat Salleh dengan harapan anak-anak mampu menjadi orang pintar suatu masa nanti.

Maka bermulalah budaya baru dimana anak-anak dah tahu membaca ketika berumur tiga dan empat tahun. Alhamdulillah seronoknya ibubapa yang memiliki anak-anak bijak sebegini. Moga kebijaksanaan itu berterusan sehingga mereka meningkat dewasa, malah kebijaksanaan tersebut diperkembangkan dengan sebaik-baiknya.

Jangan pula berlaku keciciran seperti yang kita lihat selama ini. Ketika kecil terlalu bijak, tetapi kebijaksanaan itu berkurangan sehingga kita tertanya-tanya 'apa terjadi kepada si polan, si polan'. Malah sehingga hari ini saya tertanya ke mana pergi si A yang menjadi pelajar terbaik semasa sekolah rendah? Apakah si A masih bijak ketika sekolah menengah? Si A dapat masuk universiti ke? Serta pelbagai lagi persoalan.

Ataupun si A cuma mampu mendapat deretan A's dalam peperiksaan tetapi cuma memberi jawapan streotaip dalam peperiksaan yang terhasil daripada hafalan isi-isi penting. Mampukah si A menganalisis dan menyelesaikan masalah dengan mantap dan berkesan? Ataupun si A cuma mengharapkan panduan ibubapanya dalam setiap urusan hidup. Berjayakah anak-anak ini meneruskan kehidupan mereka selepas berpisah daripada ibubapa mereka? Itu juga persoalan yang berkait rapat dengan pendidikan anak-anak.

Jadi terpulanglah kepada pertimbangan masing-masing untuk menentukan cara terbaik untuk anak-anak kita. Sama ada kita memilih untuk memulakan semenjak anak dalam kandungan, masih bayi atau setelah mereka menjejaki alam persekolahan, kerana yang penting adalah kesinambungan ilmu tersebut. Biarlah ia tetap berterusan....

Bagi saya, perkara utama ialah niat kita untuk mendidik anak-anak, ketentuannya milik Allah swt.

Lihatlah cara didikan Rasulullah yang diceritakan dalam buku sirah. Empat tahun pertama Rasulullah dididik dalam kawasan wadi Bani Saad, dekat dengan alam sekitar, serta dididik oleh pengasuh baginda, bukan ibu sendiri. Malah Rasulullah dan kebanyakan sahabat baginda adalah tidak tahu membaca dan menulis akan tetapi memiliki kebijaksanaan yang tinggi.

Apakah fitrah manusia itu tahu, tetapi kemudian lupa? Sekiranya manusia sentiasa mendapat peringatan mereka akan ingat, tetapi sekiranya dia lalai maka dia akan lupa segalai ilmu yang diperolehi itu. Sekiranya begitu, janganlah kita menganggap orang yang lupa ilmu yang pernah dipelajari sebagai belajar cuma untuk lulus peperiksaan.

Manusia itu pelupa... monyet mempunyai daya ingatan yang lebih kuat daripada manusia. Ini berdasarkan satu kajian tentang kekuatan daya ingatan manusia dan monyet ketika menggunakan komputer. Monyet dapat mengingati semua huruf dan tempat yang dipaparkan di skrin komputer sedangkan manusia terkial-kial untuk mengingati huruf-huruf tersebut.

Bila meneliti hujah-hujah kumpulan ibu-ibu yang memilih 'homeschool', saya rasa itu pandangan mereka. Mereka terlalu sayangkan anak-anak mereka, tidak sanggup melihat anak-anak didedahkan dengan perkara yang bertentangan dengan naluri keibuan mereka, sedangkan itu adalah realiti. Rasulullah saw membesar dalam masyarakat jahiliah, kemungkaran berlaku disana sini namun baginda tahu memilih.

Itulah sebabnya saya lebih memilih cara orang lama dalam mendidik anak-anak. Biarlah mereka lebih dekat dengan alam sekitar, kerana proses membaca tidak mengambil masa. Kemudian anak-anak didedahkan dengan cabaran memasuki alam persekolahan kerana di situ mereka akan diuji.

Apakah anak-anak kita mampu menegakkan prinsip mereka, mampukah mereka bersabar dengan kerenah kawan-kawan, beranikah mereka menegur kawan-kawan yang melakukan kesilapan serta pelbagai lagi pengalaman hidup yang tidak mampu saya sediakan di rumah. Biarlah mereka berlumba dengan kawan-kawan kerana hanya yang kuat saja yang mampu meneruskan kehidupan di alam ini dengan jayanya.

Jadi betul atau tidak cara didikan kita, tidak boleh ditentukan hari ini. Ia adalah keupayaan anak-anak kita meneruskan perjuangan hidup mereka, dan mendidik anak-anak mereka pula. Begitulah kitaran kehidupan manusia yang tidak akan putus sehingga berlakunya kiamat. Fikir-fikirkanlah...

2 comments:

KY said...

Assalamualaikum,

kalau dilihat dr ibu2 sekarang memang menekankan didikan pelajaran dr awal, tapi didikan lama pun berkesan, semuanya bergantung pada anak2 itu sendiri

Eija Suriani said...

walaikumsalam

yup.. anak2 ne kain putih ape pun corak kita beri dorg tetap membesar dan didikkan bkn sje dri pengajaran kita di dlm atau di luar sje tp dri pandangan mereka jua penting kan dik? :)

#contoh ape ibubapa dia pakai ke mkn ke cara komunikasi sume dri pelihatan mereka membesar itu corak yg mereka dpt nanti ..

Post a Comment