09 May 2020

Selamat Hari ibu ...Mak tok timah dan kaum ibu sedunia



Ibu, engkaulah ratu hatiku”... demikian sebaris lagu Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Lagu ini mengingatkan kita akan jasa dan kedudukan ibu. Kasih sayang ibu terhadap anak adalah kurniaan Allah.

Ayat 14 surah Lukman bermaksud: “Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu kepada-Ku tempat kembali”.

Hadis sahih Bukhari dan Muslim meriwayatkan: Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah saw, lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati? Baginda menjawab: Ibumu. Lelaki itu kembali bertanya: Kemudian siapa? Nabi menjawab: Ibumu. Lelaki itu terus bertanya: Kemudian siapa? Nabi menjawab lagi: Ibumu. Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.

Rasulullah meletakkan tingginya kedudukan seorang ibu sebagai pihak ketiga yang perlu dihormati selepas Allah dan Baginda. Sebagai anak, kita mesti menghormati ibu untuk mendapat keredaan Allah. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad ada bersabda, keredaan Allah bergantung pada keredaan kedua-dua ibu bapa. Ini bermakna jika ibu bapa suka kepada kita, Allah turut meredai kita. Sebaliknya, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut memurkai kita. Benarlah syurga di telapak kaki ibu.

Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu bapa. Hakikat ini perlu kita insafi. Oleh itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Semasa mereka masih hidup, layanlah mereka dengan sebaik mungkin. Jagalah mereka dengan baik, kasih sayang dan hormat. Jangan bersuara tinggi atau keras, atau membantah.

Imam Al-Ghazali menyebut satu hadis berbunyi “Berbuat kebajikan kepada kedua ibu bapa lebih utama daripada solat, puasa, haji, umrah dan jihad fisabilillah.”

Setiap dari kita adalah anak dan bila tiba giliran, kita akan jadi ibu atau bapa pula. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita.

Jadikan amalan kita mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Kasihlah ibu tanpa berbelah bagi, kerana kasih sayang terhadap ibu itu dan sebaliknya akan membawa anda ke syurga. Tapi andainya ibu sudah tiada, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Sentiasalah melakukan kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Sesungguhnya, Mereka menantikan hadiah dari kita.

Buat semua ibu, emak, ummi, mama, mommy, andalah Keramat Hidup kami. Bagi kami setiap detik Setiap Hari Adalah Hari Ibu.

0 comments:

Post a Comment