05 June 2013

Bermain dengan Anak-anak

Alhamdulillah kerana memilih untuk menghabiskan masa bersama dengan anak-anak, kerana ia begitu berharga bagi perkembangan emosi mereka.
Itulah sebabnya Rasulullah saw mengajar kita agar mengasihi anak-anak sendiri, anak-anak yatim dan anak-anak orang lain juga.
Namun begitu amalan mengasihi anak-anak orang lain agak kurang diamalkan dalam masyarakat kita, sedangkan anak-anak merupakan insan suci dan murni, serta masih dekat dengan fitrah.
Agak sukar untuk kita melihat orang dewasa yang sanggup duduk dan bermain dengan kanak-kanak. Selalunya jika ada apa-apa program atau pertemuan, anak-anak dibiarkan dengan urusan mereka sendiri. Jika mereka sudah mempunyai kawan alhamdulillah, tetapi jika tiada kawan, maka mereka akan bersendirian.
Jika ibubapa bertemu kawan-kawan sekalipun, anak-anak jarang berpeluang untuk merapati anak-anak rakan tersebut kerana selalunya anak-anak memerlukan masa untuk saling mengenali serta berhubungan.
Apa kata kita mula melakukan perubahan dengan memberi perhatian lebih bila bertemu dengan anak-anak orang lain, serta menunjukkan keprihatinan kita kepada mereka.
Anak-anak amat suka apabila orang dewasa melayan mereka bercakap ataupun melakukan aktiviti bersama-sama mereka. Ketika itu mereka terasa amat dihargai, serta sentiasa mengharapkan agar aktiviti tersebut akan berulang-ulang.
Itulah sifat anak-anak...jika kita memahami serta mempraktikkannya, emosi mereka akan lebih stabil dan terkawal, serta mereka akan mudah untuk berkawan dengan sesiapa saja.
Sayangnya bertahun-tahun saya melihat situasi dimana anak-anak agak jarang mendapat perhatian daripada orang dewasa. Ketika ibubapa sibuk bergembira bertemu rakan-rakan, anak-anak hanya mampu melihat tanpa ada insan yang mengerti apa yang mereka inginkan.
Moga Allah membuka hati kita untuk lebih mengasihi anak-anak, kerana mereka adalah 'Ahli Syurga', yang masih suci bersih. Jika kita inginkan perasaan yang tenang, dekatilah insan-insan ini, moga aura suci mereka berjangkit kepada kita.

0 comments:

Post a Comment