Fikir Sejenak
Apabila
kita sedang marah, kita perlu tanya pada diri "Mengapa aku marah?", dan
perlu fikir akan jawapannya. Dalam konteks rumahtangga, apabila kita
marah, sebabnya ada 2 kemungkinan:
1. Marah disebabkan perkara lain
2. Marah kepada suami/isteri
Mungkin marah disebabkan perkara lain.
Pernah
dengar kisah 'Siapa yang menendang kucing itu'? Seorang pekerja lelaki
dimarahi oleh bosnya di pejabat. Lelaki tersebut cuba pertahankan
bahawa bukan dia yang melakukan kesalahan. Maka lelaki tersebut pulang
ke rumah. Dalam perjalanan pulang, jalan pula sesak. Tambah pula ada
pemandu lain yang memandu secara tidak berhemah. Setibanya di rumah, si
isteri menjemput dengan wajah ceria. Namun fikiran si suami masih
berserabut, tidak dapat membalas ceria sapaan isteri. Maka suami terus
mencari kerehatan, meninggalkan isteri. Isteri pula terasa hati. Sudah
tidak ceria. Si anak pula meminta izin ibunya untuk pergi keluar
bermain. Ibu tidak membenarkan, si anak masam mencuka. Dilihatnya si
kucing, ditendangnya akan kucing itu. Maka, siapakah yang menendang
kucing itu?
Kisah
ini sebagai contoh umum, dan wataknya berubah-ubah dalam kehidupan
realiti. Propagasi marah boleh berlaku, dan mungkin natijahnya lebih
buruk daripada seekor kucing ditendang.
Maka
satu perkara atau ciri yang perlu ada pada diri kita agar propagasi
gelombang marah tidak berlaku atau dapat dihentikan adalah kemampuan
mengawal diri (self-control). Kemampuan mengawal diri ini adalah hasil
daripada penimbaan ilmu dan pengamalan kita tentang aspek-aspek akhlaq
Islamiyyah.
Firman Allah Ta'ala:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-Ra'd:11).
Kita marah disebabkan kesalahan suami/isteri.
Adakah dia memang bersalah?
Atau
mungkin disebabkan salah faham antara suami isteri, yang tidak tahu
tentang perbezaan lelaki dan wanita dalam keperluan perasaan, berfikir
dan bertutur?
Lelaki
dan wanita, berbeza dalam keperluan perasaan, berfikir, bertutur,
memahami, reaksi, cara memberi kasih sayang. Seolah-olah mereka
menuturkan bahasa yang suami/isteri tidak dapat memahami. Perbezaan
inilah yang perlu kita pelajari, ketahui, dan hormati, agar perasaan
cinta suami isteri terus kekal subur dan mekar hingga ke syurga.
Kerana
tidak tahu tentang perbezaan-perbezaan ini, mudah masalah dan konflik
timbul dalam rumahtangga, dan sukar pula mencari penyelesaian dan jalan
keluar untuk konflik tersebut. Perasaan marah mudah timbul, diri mudah
berasa tension.
Seringkali
suami dan isteri berada dalam konflik, apabila mereka menganggap bahawa
pasangannya adalah seperti diri mereka, daripada aspek perasaan,
fikiran, dan komunikasi. Suatu kesilapan juga apabila ada yang
menganggap bahawa cara menyatakan cinta dan menerima cinta tiada
perbezaan antara lelaki dan wanita.
1. Apabila Mereka Berkomunikasi
Secara
umumnya, apabila seorang lelaki berbicara dengan lelaki tentang
masalah, bermakna dia berusaha mencari penyelesaian kepada masalah
tersebut dengan meminta bantuan rakannya. Maka mereka akan berbincang,
agar jalan keluar ditemui untuk mengatasi masalah tersebut. Ini jelas
kepada kita.
Dalam
kehidupan rumahtangga, apabila isteri berbicara dan berkongsi perasaan
tentang perkara-perkara hariannya (masalah luaran, bukan masalah
rumahtangga) - terutama yang tidak menyenangkannya, suami mudah
menganggap bahawa itu adalah suatu luahan masalah yang meminta cadangan
solusi. Ini adalah normal sekiranya adalah urusan antara lelaki. Namun
tidak sebegitu antara lelaki-wanita atau suami-isteri. Apabila wanita
membuat luahan tentang perkara yang tidak menyenangkan, tidak
semestinya ia adalah luahan masalah yang berhajatkan kepada cadangan
penyelesaian.
Maka
suami apabila mendengar luahan tersebut, dengan niat baik ingin
membantu, mula menganalisa satu demi satu yang diluahkan isteri, dan
memberi cadangan demi cadangan, tetapi bukanlah itu sebenarnya yang
dikehendaki. Isteri terus berasa tidak gembira, atau bertambah sedih.
Langkah
yang betul yang perlu diambil oleh suami, yang benar-benar membantu,
adalah mendengar dengan empati, cuba memahami dan menghayati,
seolah-olah turut melalui situasi yang sama, tanpa cadangan solusi.
Bukanlah
cadangan solusi itu perkara yang tidak elok, ia perkara yang penting,
namun perlu juga dinilai faktor masa (bila), juga cara disampaikan
(bagaimana).
Wanita berubah-ubah kondisinya, mengikut keadaan dan masa, dan umumnya boleh dibahagikan kepada 3 mode:
1. Rasional
Mode ini wanita boleh dibawa berbincang, dan mampu mendengar cadangan solusi atau penambahbaikan.
2. Empati
Ini
mode tidak gembira, sedih atau marah disebabkan masalah luaran. Mode
ini wanita inginkan pendengar yang memahami. Tidak berhajat kepada
cadangan solusi, melainkan mereka sendiri yang meminta.
3. Emosional
Ini
mode tidak gembira, sedih atau marah disebabkan masalah dalaman
(masalah suami-isteri). Juga tidak berhajat kepada cadangan solusi,
melainkan mereka sendiri yang meminta.
2.Belajar Menjadi Pendengar Yang Baik
Kita perhatikan satu contoh daripada buku Men Are From Mars, Women Are From Venus.
Mary pulang ke rumah dengan hari yang meletihkan. Dia perlu dan mahu berkongsi perasaannya tentang hari tersebut.
Dia berkata, "Sungguh banyak yang perlu dilakukan, saya tidak mempunyai masa untuk diri sendiri."
Tom berkata, "Awak perlu berhenti kerja itu. Awak tidak perlu bekerja keras. Cari sesuatu yang ingin awak lakukan."
Mary berkata, "Tetapi saya suka kerja saya. Mereka mengharapkan saya untuk mengubah segala-galanya serta-merta."
Tom berkata, "Jangan dengar kepada mereka. Lakukan apa yang awak mampu lakukan."
Mary berkata, "Itulah apa yang saya buat! Saya tidak dapat percaya saya benar-benar terlupa untuk menelefon mak cik hari ini."
Tom berkata, "Jangan bimbang tentang hal itu, dia akan faham."
Mary berkata, "Adakah awak tahu apa yang dia lalui? Dia perlukan saya."
Tom berkata, "Awak terlalu risau, sebab itu awak tidak gembira."
Mary marah berkata, "Saya tidaklah selalu sedih. Tak bolehkah awak hanya dengar?"
Tom berkata, "Saya sedang dengarlah ni."
Selepas
perbualan ini, Mary lebih kecewa daripada apabila dia tiba di rumah.
Tom juga kecewa dan tidak tahu apa yang tidak kena. Dia mahu membantu,
tetapi taktik penyelesaian masalah itu tidak berhasil.
Tom
tidak tahu apa yang diperlukan dan diinginkan oleh Mary. Tom juga tidak
memahami betapa pentingnya untuk dia hanya mendengar tanpa menawarkan
penyelesaian. Penyelesaian hanya memburukkan lagi keadaan. Cara untuk
memberi sokongan dan membantu adalah dengan mendengar - dengan sabar
dan empati, dan berusaha untuk benar-benar memahami perasaan Mary.
Tom
tidak tahu pada awalnya bahawa hanya mendengar dengan empati Mary
mengekspresikan perasaannya akan membantu menggembirakan Mary. Apabila
Tom tahu betapa Mary perlu untuk meluahkan perasaannya dan didengari,
beliau secara beransur-ansur belajar menjadi pendengar yang baik.
Hasilnya, apabila Mary pulang ke rumah dalam keletihan, perbualan mereka agak berbeza.
Mary berkata, "Begitu banyak yang perlu dilakukan. Saya tidak mempunyai masa untuk berehat."
Tom mengambil nafas panjang, menghembus nafas, dan berkata, "Awak seperti melalui hari yang amat sukar."
Mary berkata, "Mereka mengharapkan saya untuk mengubah segala-galanya serta-merta. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan."
Tom berhenti sejenak dan kemudian berkata, " Hmmm."
Mary berkata, "Saya bahkan lupa untuk menelefon mak cik."
Tom berkata dengan dahi yang sedikit berkedut, "Oh, tidak."
Mary berkata, "Dia memerlukan amat saya sekarang. Saya rasa bersalah."
Tom berkata, "Awak memang seorang yang penyayang."
Tom kemudian memeluk mesra Mary. Mary kemudiannya berkata, "Saya suka bercakap dengan awak. Terima kasih kerana mendengar. Saya rasa lebih tenang."
3.Kenali Dia
Know our spouse, and let our spouse know about ourself.
Suami
perlu belajar dan berusaha mengenali isteri, isteri perlu belajar dan
berusaha mengenali suami. Isteri perlu memberitahu tentang diri kepada
suami, suami perlu memberitahu tentang diri kepada isteri.
Wujudkan
sesi khas tazkirah dan perbincangan mingguan secara konsisten. Semoga
perasaan cinta dan kasih saying bait Muslim terus mekar hingga ke
hujung hayat dibawah naungan cinta Ilahi.
0 comments:
Post a Comment