Perbahasan mengenai keluarnya angin melalui faraj atau vagina atau
qubul ada disentuh oleh ulama. Mengikut kaedah saintifik, vagina adalah
tiub yang berotot dan berdinding membran sepanjang 7 hingga 9 cm yang
menghubungkan pangkal rahim ke bukaan faraj. Bukaan faraj ini dikawal
oleh beberapa otot kemut sama seperti otot yang mengelilingi bukaan
dubur dan salur kencing. Dalam keadaan biasa, tiub ini berada dalam
keadaan tertutup, dindingnya kempis menyentuh antara satu sama lain dan
tidak mengeluarkan sebarang angin. Ini adalah kerana bakteria yang
berada di sel-sel lapisan dalam vagina hanya bertindak balas
mengeluarkan asid laktik untuk menjadikan faraj berasid, lembab dan
membantu mengelakkan jangkitan kuman pada permukaannya.
Keadaan ini berbeza dengan situasi yang berlaku pada usus besar yang
mana bakteria dalam usus besar bertindakbalas mengeluarkan gas yang
dikenali sebagai kentut. Maka dalam keadaan normal, vagina sepatutnya
tidak mengeluarkan sebarang angin melainkan sekiranya seseorang wanita
itu mengalami masalah fistula (lubang penyambung) antara rektum (usus
besar) dengan vagina akibat pembedahan antara usus dan faraj. Keadaan
ini menyebabkan angin dari usus besar masuk ke dalam faraj.
Kebanyakan wanita sebenarnya mengalami masalah keluar masuk angin di
antara kelopak besar labia (labia majora), angin ini berkumpul di celah
ruang yang terbentuk antara kelopak dan faraj. Fenomena ini sering
disalah anggap sebagai angin yang keluar dari bukaan faraj. Lebih
memburukkan keadaan apabila wanita berkenaan mengangkat hadas iaitu
membasuh bahagian kemaluan mereka. Air yang terperangkap di celah
kelopak-kelopak besar labia, menyebabkan pergerakan angin keluar masuk
melalui kelopak-kelopak labia ini lebih ketara dirasai semasa
pergerakan solat, yang akhirnya turut mengeluarkan bunyi dan rasa
keluar angin seperti kentut. Lebih menyulitkan lagi bukaan faraj tidak
mempunyai deria rasa yang sensitif seperti bukaan dubur hingga
membolehkan kita dapat merasai keluarnya angin dari bukaan faraj secara
yakin.
Namun begitu, keluar masuk angin di vagina berkemungkinan berlaku
kepada wanita yang mengalami kelemahan pada otot-otot kemut seperti
wanita yang telah melahirkan ramai anak, mengalami masalah jatuh
peranakan dan juga tidak dapat mengawal kencing (kencing dedas) Bagi
memastikan bahawa angin yang keluar masuk itu bukan dari vagina, wanita
disarankan berdehem selepas membuang air sebagaimana dianjurkan
Rasulullah bagi orang yang mengalami masalah kencing dedas, mengelap
kering bahagian sulit selepas berhadas kecil, atau melakukan ujian
dengan meletakkan tisu di antara kelopak ini (bukan menyumbat faraj).
Sekiranya angin sudah tidak kedengaran lagi, maka sahlah ia berasal
dari masalah ini, jika dia terus menerus berlaku, maka wanita perlu
mengakui besar kemungkinan angin itu berasal dari faraj. Wanita
berkenaan disarankan untuk mempraktikkan senanam kemut untuk menguatkan
semula otot-otot kemut bagi menutup kemas bukaan faraj.
Hukum dan implikasinya
Hukum wanita yang mengeluarkan angin / kentut melalui faraj (qubul) dan juga dubur adalah batal wuduknya berdasarkan dalil berikut,
عَنْ َعبَّادِ بْنِ تَمِيْمٍ عَنِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتاً أَوْ يَجِدَ رِيْحاً
‘Abbad bin Tamim melaporkan daripada
Nabi s.a.w yang berkata, “Jangan seseorang berpaling iaitu meninggalkan
solat sehingga ia mendengar bunyi kentutnya atau tercium baunya”.
Hadis direkodkan oleh Muslim dan Bukhari.
Berdasarkan hadis di atas, secara jelas Rasulullah memberitahu bahawa keluar angin boleh membatalkan solat. Oleh sebab itu, wanita yang mengalami masalah angin pada faraj disarankan mengambil langkah-langkah berikut;
1. Berdehem selepas membuang air kecil.
2. Membasuh kemaluan dengan sempurna.
3. Mengelap faraj sehingga kering dan
menutupi ruang kemaluan dengan tisu, kain atau menutupi ruang dengan
rapat menggunakan tuala pelekat yang nipis dan bersih.
4. Kemudian memakai seluar dalam yang kemas agar udara tidak boleh keluar masuk sebelum berwuduk dan menunaikan solat.
Sikap berhati-hati dalam menunaikan ibadah solat amat penting agar solat sah dan diterima Allah.
4 comments:
pendekatan yang menarik sebagai peringatan diri ..
akan lebih berhati-hati lepas ni..
yup sebelum neh kita malu nak rujuk isu ini pd org kan now alhamdulillah byk mencari dan bertanya dptlah ilmu di kongsi bersama :)
ooo..bru taww~hee :)
tima kasih sebb sudi berkongsi ^__^
baru faham ... terima kasih sbb berkongsi ilmu :)
Post a Comment